teks

^_^ ..
apa yang ditaip ini sebagai sebuah perkongsian dan buat bacaan siapa yang sudi ^_^ ..
sekadar ruang menulis dari lubuk hati ^_^ penulis, berimaginasi sendiri dan diluahkan dalam bentuk cerita. terima kasih pada yang sudi membaca. semuanya hanyalah taipan jari jemari penulis blog hijau ^_^ ini...


PsssStt ; buat yg sudi follow
jgn lupa tinggalkan link pada shoutbox ya ^_^
nanti boleh saya jenguk sana pula..

Followers

Sunday 31 July 2011

Enfakid + kismis

tanggal 1 hb 8 2011 hari pertama umat Islam berpuasa..

“Akak, pagi tadi Aina nampak nenek makan.” Aina si kecil yang montel mengadu pada kakaknya Humaira’ yang sedang asyik membaca buku di laman rumah.

“Akak! Nenek tak puasa ke?” Aidil abang kepada si kecil Aina datang menyampuk dan menyoal hairan pada Humaira’.

“Hishh. kamu berdua ni tak baik cakap bukan-bukan, salah tengok kot..” Humaira’ cepat-cepat menyangkal bila mendengar kata-kata daripada kedua adiknya.

“Tak kak, pagi tadi Aina memang nampak nenek kat dapur tu.”

“Aidil rasa tahun lepas Aidil pun pernah tengok nenek tak puasa, Aidil beritahu akak, tapi akak tak percaya.” Ujar Aidil

“Tapi Aidil rasa ajakan? Tak ada buktikan? Mana boleh main agak-agak Aidil tak baik, nenek pergi bilik air je kamu berdua dah cakap nenek tak puasa.” Humaira’ masih menafikan dan dia tak ingin adik-adiknya bersifat buruk sangka.

“Tapi Aina nampak nenek buka tin kat dapur tu..” Aina si kecil itu masih belum puas hati, dia tetap dengan pendiriannya.

“Entah-entah pagi tadi tu nenek nak bagi si comel makan, kan si comel ..” Humaira’ buat-buat bercakap dengan anak kucing yang dipegang Aina sambil tangannya menepuk-nepuk manja kepala si comel

“Meoww” si comel pula seakan-akan mengerti, kepalanya terangguk-angguk mengikut gerakan tangan Humaira’.

Aina mengerut muka tanda dia belum berpuas hati.

“Kalau nak bagi makan sicomel kenapa nenek buka tin biskut oat tu? Sejak bila si comel makan biskut oat, kan sicomel?” giliran Aina pula bertanya pada si comel konon-konon si comel mengerti, tapi si comel asyik menjilat-jilat jarinya.

“Si comel pun tak mengaku cakap Aina..“ usik Aidil.

Aina memuncungkan mulutnya mendengar usikan abangnya.

“Hishh Aina tak baik kata nenek tak puasa, inikan bulan puasa nanti pahala Aina dapat kat nenek pulak”

“Kenapa?, Aina puasa kawan-kawan Aina pun puasa sebab cikgu cakap kalau tak puasa tak boleh masuk syurga, jangan pandang Aina budak kecil tahu. Aina tahun depan dah nak masuk darjah satu. Cikgu cakap lagi kalau tak puasa penuh tak boleh raya..” Aina membela diri.

“Habis Aina mengumpat pasal nenek tak baik tu nanti pahala Aina beralih pada nenek.” Aidil menambah cuba berlagak seperti seorang cikgu padahal tahun depan baru bakal menduduki upsr.

“Habis pahala abang Aidil pun tak adalah sebab dah dengar Aina mengumpat” sipetah Aina terus menjawab

Humaira’ sudah terkekek mendengar Aina mengenakan Aidil.

“Ish Aina ni, kenapa pintar sangat menjawab haa?” Aidil yang terkena dengan jawapan Aina mencubit pipi montel adiknya.

“Apa abang ni batal air sembahyang Aina”. Aina mengusap-ngusap pipinya yang gebu dan tembam.

“Hahahaaha.. “ tawa Humaira’ lepas juga..

Aidil ternganga mendengar mendengar jawapan adiknya

“Sejak bila pulak kalau abang pegang Aina batal air sembahyang ni..” Aidil makin pening mendengar celoteh Aina.

“Dah abang Aidil lelaki, tak baik tahu pegang-pegang orang perempuan ni, bulan puasa lagi tu..”

“Aina.. itukan abang Aina sebab itulah boleh pegang, “ Humaira’ menjawab bagi pihak Aidil sambil menahan tawa.

“Eh! iyalah Aina lupa.. ” Aina hanya tersengih.

Humaira’ menggeleng kepala mendengar celoteh Aina.

“Hmm.. hari ini hari pertama puasa abang nak tengok je Aina tahan atau tak berpuasa penuh sehari.”

“Elleh tengok orang laa..” Aina mengangkat lengannya yang montel tinggi-tinggi..

“Sudahlah, jom masuk panas kat luar ni nanti dahaga susah pulak, kita nak berbuka lambat lagi ni..” Humaira’ memotong perbualan keduanya sambil mengiringi mereka masuk.

*****************************************************

”Sayang-sayang nenek dah nak masuk waktu berbuka ni cepat turun..” Datin Hasyimah memanggil cucu-cucunya turun.

Humaira’ sudah pun siap menyusun hidangan juadah berbuka di atas meja, ada air sirap bandung, kari ayam, sedikit kuih dan kurma.

“Akak, dah boleh makan ke?” Aina menarik kerusi meja makan dengan longlai penat rupanya nak menghabiskan puasa satu hari, matanya tak lepas memandang air sirap bandung yang terhidang atas meja, kepalanya diletakkan dibucu meja sambil terbayang-bayang air sirap bandung tu masuk ke kerongkongnya.

“Aina! Aina pandang macam tu dah batal puasa tu tak baik tau, esok kalau kawan-kawan Aina tahu ..aaa..aa” Aidil mengusik adiknya

“Aina bukan minum pun Aina pandang je..” balas Aina..

Humaira’ yang berada di sudut dapur hanya mendiamkan diri.

“Apa yang kamu usik tu Aidil..” Datin Hasyimah datang menghampiri meja membawa pinggan nasi.

“Nek, kalau kita hidu bau makanan, batal puasa kan nek,?” soal Aidil.

“Tak adalah sampai batal tapi makruh, perkara yang tak mendatangkan pahala, kalau dah makan dengan sengaja baru batal puasa” ujar neneknya..

“Tapi air sirap bandung tu tak berbau pun duduk jauh pada Aina nuuuu…” Aina membela diri, mulutnya dimuncungkan panjang untuk menunjukkan betapa jauhnya air sirap bandung itu..

Aidil hanya ketawa dapat mengenakan Aina..

“Iya iya, sudahlah tu.. siapa nak baca doa berbuka puasa ni?” Datin Hasyimah bersuara.

“Abang Aidil, dia sorang je lelaki kat dalam rumah ni lebih afdhal kan nek.” jawab Aina pantas..

Terbeliak mata Aidil ingatkah dia doa berbuka puasa?

Akhirnya mereka berempat sama-sama membacanya…

“Akak malam ni Aina tak nak ikut solat terawikh ya.. tak larat la kak..”

“Iyala sayang.. malam ni Aina duduk dengan nenek ya.. Aidil? Nak ikut kakak tak?”

Aidil hanya tersengih malas,Aina dah faham dan dia tak memaksa, hari ini hari pertama mereka berpuasa pasti letih, tadi disuruh tidur dulu tidak mahu asyik bermain, kebetulan pula nenek mereka pun tak ke masjid, mujur jugak jarak rumahnya dengan masjid dekat dari pintu pagar rumahnya saja sudah kelihatan pagar masjid.

“Tak apalah Humaira’.. Humaira’ pergilah nenek tunggu budak-budak ni, tapi malam besok kena ikut, Sebab nenek pun nak bertarawikh”. Datin Hasyimah duduk di sebelah aina yang sedang terlentok di sofa.

“Nek nak susu..” humaira’ hanya tersenyum dari luar, malam-malam begini Aina akan merengek minta buatkan susu Enfakid A+.

Dan hari-hari seterusnya adalah hari yang memenatkan Aina tapi digagahkan juga diri untuk berpuasa penuh. Tahun lepas sewaktu umur 5 tahun dia berpuasa separuh hari tapi tahun ni dia ingin memenuhkan puasanya.

***********************************************************

Hari ini hari ke lima belas umat Islam menyempurnakan Ibadah puasa, Aina dan Aidil sudah dapat membiasakan diri, tidak lagi kuat bermain, kagum Humaira’ pada adiknya itu langsung tak merengek dahaga, letih, ataupun mahu berpuasa sekerat hari, berbanding Aidil yang lebih banyak merungut dahaga, malah awal puasa dahulu liatnya untuk bangun sahur.

Berbagai perkara dah mereka lalui sepanjang berpuasa, pernah Aina menggemparkan neneknya melihat Aina meraung-raung seperti kesakitan berlari-lari Datin Hasyimah mendapatkan Aina.

“Apa? Kenapa? Ha? Aina kenapa sakit ke? Ha? Dekat mana Aina sakit?” Kalut Datin Hasyimah melihat Aina menagis Aidil yang sedang menyarung kasut sekolah turut berlari-lari mendapatkan adiknya kebetulan pula Humaira’ sudah keluar awal pagi itu.

“Nenek..” air mata Aina berjurai-jurai..

“Iya kenapa sayang bagitahu nenek..” cemas Datin Hasyimah melihat Aina.

“Aina.. Aina termakan kismis ni.. Aina lupa Aina puasa..”

“Astaghfirullah.. terkejut nenek ingatkan Aina sakit.." datin Hasyimah mengurut dadanya, "Aina lupakan ?”

Aina mengangguk sisa tangisnya masih ada..

“kalau Aina tak sengaja tak apa, kan Aina cakap Aina lupa tadi..” pujuk neneknya

“kalau kita terlupa dan kita tak sengaja makan, puasa kita tak batal” pujukan Datin Hasyimah meredakan tangis Aina.

“Tapi Aina dah telan” ujarnya perlahan..

“Tak apa anggap rezeki Aina dapat makan pagi ni tapi lain kali jangan pula buat-buat lupa..” ujar neneknya diselangi pesanan.

Menjadi kebiasaan Aina untuk memakan kismis sebelum kesekolah dan itu memang menjadi tabiatnya dari kecil dan semenjak masuk bulan puasa biasanya dia akan makan ketika sahur, entah kenapa pagi itu dia terlupa yang dia berpuasa.

Petang itu ketika Aina duduk di laman rumah bersama neneknya dia teringatkan abah dan mama.

“Nek, bila abah dengan mama nak balik?” Aina menyoal kepalanya diletakkan di riba neneknya.

“Nanti hari raya kedua mama dengan abah baliklah..” ujar Datin Hasyimah sambil mengusap-ngusap kepala Aina.

“Nenek, abah dengan mama pergi mekah puasa kat sanalah ya?”

“Iya Aina..”

“Hurmm agak-agak nenek abah dengan mama kat sana ponteng puasa tak?”

“Ha? Kenapa mama dengan abah nak ponteng puasa, kan puasa tu wajib.” Ujar Datin Hasyimah sambil tangannya mengelus lembut kepala Aina..

“Tapi hari tu Aina nampak nenek pun tak puasa, nenek makan kat dapur..” Aina bersuara dalam hati, dia takut nak bertanya entahkan betul entahkan tidak apa yang dia lihat lagipun neneknya tak pernah menipu dan dia sayangkan nenek.

“Aina rindu mama dengan abah ya.. hmm kalau Aina rindu Aina kena rajin berdoa banyak-banyak semoga abah dengan mama sihat selalu, biar nanti pulang dengan selamat boleh jumpa Aina.” Datin Hasyimah memujuk Aina, sememangnya anaknya Hassan mahu membawa Aina ke mekkah, tapi dia yang menghalang katanya dia boleh menjaga cucunya itu, biarlah mereka pergi ke sana dan beribadat dengan tenang urusan anak-anak serahkan pada dia.

“Nenek, berapa hari lagi abah dengan mama nak balik..”

“Cuba Aina kira, puasa ada tiga puluh hari kita dah puasa lima belas hari tinggal berapa hari? Soal neneknya

“Mm lima belas” jawab Aina setelah berfikir dan mengira-ngira dengan jari mungilnya.

“Tambah lagi sehari hari raya dari lima belas..

“Jadi, enam belas hari lagilah nek mama dengan abah nak balik” potong Aina cepat..

“Pandai cucu nenek” Datin Hasyimah mencubit-cubit pipi Aina yang tembam. Suara ketawa Aina diselangi neneknya menghiasi laman rumah hari itu..

***********************************************

Cuti sekolah sudah bermula dan musim untuk pulang ke kampung pun tiba .. Aina melangkah longlai matanya tercari-cari kelibat penghuni rumah tapi sepi mungkin masih tidur, dia sendiri baru sahaja bangun selepas dia menyambung tidur sebaik selesai solat subuh tadi.

Sambil menenyeh-nenyeh matanya yang masih tersisa kantuk dia menuju ke dapur telinganya menangkap bunyi dengan perlahan-lahan Aina berjalan mengintai ke arah dapur dia Nampak kakaknya Humaira’ sedang minum.

“Kak Humaira’ tak puasa?, kalau Aina dia bukan main suruh puasa tapi dia tak puasa” Aina menggerutu sendiri tak berpuas hati.

“Aina..” tersentak Aina bila namanya dipanggil nenek, Aina cepat-cepat menghampiri tangga kelibat neneknya muncul sambil menuruni anak tangga.

“Aina dah bangun rupanya, abang aidl belum bangun?” Datin Hasyimah menghanpiri Aina yang nampak kebingungan.

“Kenapa ni?”

Aina hanya menggelangkan kepalanya..

“Berapa hari lagi ya abah dengan mama nak balik” Datin Hasyimah sekadar bertanya.

Aina bagai baru tersedar dibibirnya terukir senyuman lantas dia berlari-lari menaiki anak tangga menuju ke biliknya melihat kalendar yang dibuat sendiri dengan bantuan abang Aidil dan kak Humaira’. Datin Hasyimah turut tersenyum melihat gelagat Aina.

Setiap pagi Aina akan menghitung berapa hari lagi yang tinggal untuk menyambut kepulangan abah dan mama yang dia rindu, pada kalendar yang dibuat sendiri itu dia coretkan bentuk hati pada setiap tarikh yang hadir, dikira dan dihitung dengan asyik. Mulutnya tersenyum hatinya riang tinggal dua hari puasa dan sehari raya mama dan abah akan pulang, dicapainya pula baju raya yang dah disiapkan mamanya sebelum berangkat ke mekah untuknya sambil melayang-layangkan baju itu di hadapan cermin, terlupa dia pada kak Humaira’, nenek, mahupun Aidil sebab hatinya mengembur-gembur rindu dan rasa tak sabar telah membuat dia benar-benar dalam dunianya sahaja.

************************************

Hari terakhir puasa Aina menyambung tidur selepas subuh, hatinya tak sabar-sabar menunggu kepulangan abah dan mamanya, melihat tarikh pada kalendarnya tinggal satu tarikh lagi untuk dia coret, kegembiraannya untuk menyambut balik abah dan mama melebihi kegembiraan hari raya yang akan disambut esok, hari ini kak Humaira’ dan nenek merancang untuk mengemas rumah sesudah tiga hari mereka membersihkan rumah, tinggal memasang langsir.

Riang tak terkata mereka sekeluarga menggubah langsir berbagai gaya, rumah dah berkemas kuih raya sudah siap untuk diletakkan di ruang tamu.

“Hari ni kita tak payah masaklah Humaira’ kita beli pasar je” ujar Datin Hasyimah pada Humaira’ yang sedang menyapu sisa-sisa habuk, Aina dan Aidil sudah tertidur di sofa..

“Iyalah nek,”

sambil menunggu jam berlalu untuk ke pasar Humaira’ ke dapur untuk menghitung kuih raya yang ada, tangannya mencapai beberapa biji kacang hijau disumbat ke mulutnya dikunyah dengan penuh perasaan, kekacang memang menjadi kesukaannya.

“Hah, esok mak long kamu mungkin datang awal, nenek ingat selain rendang dengan ketupat yang ada nenek nak buat nasi minyaklah..” Datin Hasyimah muncul entah dari mana mengejutkan Humaira’.

Dengan selamba Datin Hasyimah turut mengunyah sebiji kuih yang ada dalam balang di hadapannya, Humaira’ hanya tersenyum.

“Hah!!!”

“Opocot engkau nasi minyak..” Datin Hasyimah melatah dia baru saja mahu melabuhkan punggungnya ke kerusi terbangun mendengar sergahan nyaring dari arah pintu dapur.

Humaira’ turut tersentak disergah dari belakang ditambah neneknya yang melatah, dia menoleh terbuntang matanya melihat Aina yang bercekak pinggang memandang dia dan neneknya silih berganti.

“Aina kecil lagi Aina tak faham, nanti Aina besar Aina fahamlah..” ujar neneknya dah berbuih mulutnya menerangkan pada Aina mengapa dan kenapa, tapi Aina belum puas hati..

“Mana aci Aina puasa penuh tapi nenek dengan akak ponteng puasa!” protes Aina.

Mujurlah Aidil masih lena di sofa kalau tidak tambah satu mulut lagi bersoal jawab.

“Kenapa orang dewasa tak payah puasa,?”soalnya..

“Bukan tak payah sayang… tapi orang perempuan ada waktu-waktu tak perlu berpuasa tak perlu solat,”

“Aina perempuan jugak bila tanda Aina tak payah puasa, hari-hari Aina puasa.?”

Terangkat kening Humaira’ melihatkan neneknya yang buntu..

“Eh! dah pukul 5 petang, jom Aina tamankan akak pergi pasar hari kita ayam percik ya tambah ayam golek..” Humaira’ cuba mengalih topik.

Tapi Aina masih belum berganjak.

“Abah cakap kalau tak puasa tak boleh berbuka bersama orang puasa..” ujar Aina

“Kalau macam tu orang tak puasa tak payah masaklah sebab tak makan, kan nek, jadi orang nak berbuka kena masak sendiri la..” balas Humaira’ sambil mengenyit mata pada neneknya..

“Tak apa Aina buat susu Enfakid A+ lepas tu makan kismis, dapat makan jugak..” itulah yang dia tahu dua makanan yang amat dia suka.

“Aina dah besar minum Enfakid A+ lagi.. “balas nenek

“kalau macam tu air milo kan ada” jawab Aina lagi masih belum mengalah.

“Umm tapi akak dah terbau ayam goreng lah.. Aina bau tak..” humaira’ cuba memancing.

“Tak baik bau makanan nanti makruh…” jawab Aina padahal hidungnya dah kembang kempis.

Humaira’ dan Datin Hasyimah saling memandang sambil tersenyum, ada saja jawapan dari mulut Aina.

“Akakkk…cakap nak pergi pasar..” suara kecil Aina kedengaran lantang, dia sudah siap bertudung menunggu kakaknya di depan pintu.

Humaira’ dan Datin Hasyimah hanya tersengih.

*********************************************************************

Raya pertama mereka mendapat panggilan daripada abah dan mama bukan kepalang riangnya Aina berebut-rebut mahu bercakap, terasa keduanya ada bersama mereka menyambut lebaran, khabar dari abah lebih menggembirakan lagi, mereka akan pulang malam ini.

“Nek malam ni abah dengan mama dah sampai rumahlah?” entah keberapa kali Aina meminta kepastian dari neneknya. Dia bagai tak percaya.

Kedatangan sanak saudara menambah riang Aina, tiap kali dia mendapat pujian sebab berpuasa penuh ibu dan bapa saudaranya memberinya sampul duit raya yang banyak. Tak sudah dia mendapat pujian demi pujian hatinya kembang.

Masa yang beredar membuat Aina tak sabar menunggu dia takkan tidur lagi sebab mahu menunggu abah dan mama, ada banyak cerita yang dia tak sabar nak kongsi, dan yan penting hendak mengkhabarkan yang dia berjaya puasa penuh.

Mereka hanya menunggu di rumah, pak lang yang akan menjemput abah dan mama, Aina mula menguap keletihan tapi digagahkan matanya untuk berjaga, dia merasa keadaan sekelilingnya mula suram dan beransur gelap.

“Aina sayang ..bangun..”

“Aina membuka matanya luas-luas bila bahunya di usap perlahan. Dikerdipkan mtanya beberapa kali

“Mama..!!” riangnya Aina melihat mamanya di depan mata..

“Mama, lambatnya mama balik cakap nak balik semalam. Lama Aina tunggu mama dengan abah sampai tak tidur semalaman.” Aina dah duduk atas riba mamanya.

Norish hanya tersenyum rindunya dia pada anak bongsunya ini, dia teringat semalam sebaik saja mereka sampai Aina dah terlelap, hendak dikejutkan tak sampai hati pula.

Pagi itu bermacam cerita keluar dari mulut Aina itu ini pada mama dan abahnya, bagaimana dia puasa, abang Aidil yang asyik mengusik dan cerita tentang sekolahnya.

Petang itu Aina meminta mamanya buatkan susu.

“Hai.. Aina kan dah nak masuk darjah satu takkan nak minum susu lagi..”

“Ma.. Aina nak cepat besarlah ma. Nak jadi orang dewasa nanti tak payah puasa.” Ujarnya

Mama yang mendengar kata kata Aina hanya menggeleng.

“Siapa yang cakap orang dewasa tak perlu puasa?” Mamanya menyoal hairan.

“Tuu nenek dengan akak tak puasa, Aina nampak akak dengan nenek makan ”. mulutnya di muncungkan ke arah Humaira’ yang sedang berada di sinki.

Terjegil mata humaira’ mendengar kata Aina, mama hanya tersenyum.

“Anak abah cerita apa ni” Hassan datang menghampiri anak isterinya yang sedang asyik berbual di dapur.

“Hari ini humaira’ puasa sunat 6 syawal?”

“puasa abah, humaira’ dengan nenek cadangnya nak ganti terus” ujar humaira’.

“Kan bulan puasa dah habis”. Aina yang mendengar perbualan abah dan Humaira’ menyampuk.

“Puasa bulan Ramadhan dah habis, tapi bulan syawal juga disunatkan berpuasa 6 ganjarannya seperti puasa satu tahun”. Ujar Hassan sambil mengelus-ngelus rambut Aina.

Patutlah Aina tak Nampak kakak dan neneknya bersarapan, pagi tadi mama buatkan nasi beriani yang menjadi menu kesukaan keluarganya. Aina masih belumdapat mencerna apa yang dikatakan abahnya, dia seperti berfikir sesuatu.

“Kalau macam tu rugilah, hari raya boleh makan kuih raya, makanan sedap-sedap, tapi kakak dengan nenek tak boleh makan.” Dia memandang wajah abah, kemudian menoleh pula ke arah mamanya. “mama Aina tak naklah minum susu, Aina tak nak cepat besar sebab nanti kalau hari raya kena puasa.”

“Pulak.” Mereka bertiga hanya ketawa mendengar kata-kata sikecil Aina.

Petang itu Aina dan Aidil sibuk mengira isi yang ada dalam sampul duit raya, siapa yang dapat banyak siapa yang dapat sikit, melihat sampul duit Aina melebihi sampul yang Aidil dapat. Tapi Aina belum puas hati

“Kenapa abanag Aidil dapat duit banyak daripada Aina? Sampul abang Aidil sikit”

“Dah diorang masukkan dalam sampul yang abang aidil dapat ringgit, yang Aina seringgit”

“Kenapa pulak?”

“Aina kecil lagi Aina nak buat apa duit banyak-banyak, lainlah abang Aidil, abang boleh simpan dulu nanti boleh masuk asrama, kalau Aina dah besar dan jadi orang pandai tentu Aina dapat duit raya banyak.” Aidil masih sibuk mengira duitnya, mulutnya tak habis-habis tersenyum.

“Mama… Aina nak susu.. mama campur dengan kismis.”

Norish yang berada di dapur tercengang-cengang, susu tambah kismis?

“Mama Aina nak susu, nak cepat besar, mama tambahlah kismis kan mama cakap kalau nak cerdik makan kismis yang banyak, nanti kalau dapat masuk asrama, Aina boleh dapat duit raya yang banyak.” Aina sudah berdiri di tepi meja makan.

Norish masih terdiam fikirannya mencerna patah kata dari Aina akhirnya tawa norish meletus juga, “Aina.. Aina..”

Sikap seorang anak kecil memang tak boleh dikatakan dia cepat dewasa, tapi mudah terkesan dengan keadaan sekeling.

(^_^)

Selamat berpuasa… psstt hari ini hari pertama berpuasa semoga kita dapat meneruskan hari-hari mendatang dengan syukur diselit dengan amal..


terime kasih sudi baca.. dan sudi-sudi la komen..

Saturday 30 July 2011

belum terlambat..

sekadar nak meluang masa. dan meluahkan kata.. mengisi hari dan melewatkan waktu.. apa yang ada hanya dari hati.. bermula dari pengamatan, pembacaan, motivasi dan kenalan.. siapa saja boleh melakukan, luah apa yang ada, dari membiar terperuk sendiri sekurangnya kita mengenal diri, tahu di mana letaknya hati, dan cuba mengenal orang sekeliling..

setiap kata yang terlakar difikiran salurkan ke hati nilai sendiri sebelum diberi nilai orang, yakin + usaha dan jangan takut dikritik, (sebenarnya jangan takut digelakkan)

diri kita adalah kita sekalipun begitu pandangan sekeliling pada yang positif kita terima dan yang negatif diambil untuk dijadikan iktibar sehari-hari sebagai cabaran bukan pelemah..
jom-jom kita menulis, tulis apa hendak di tulis, tulislah impian, tulis lah pengalaman.

wahh.. diri ini sendiri pun masih dalam proses belajar dan mengenal, dan sedang mencari bagaimana dan apa yang sesuai, apakah buat tentang itu, apakah sesuai dengan ini?

apapun hanya sekadar berpendapat.. dan tersangat ingin mencuba terima kasih pada yang sudi membaca celoteh ini..

jom-jom kita cari apa minat diri kita.. (^_^)
terime kasih sudi baca.. dan sudi-sudi la komen..

Thursday 28 July 2011

cucu atok

Pertama kali Addin menjejakkan kakinya di muka bumi yang bernama kampung Sungai Nilam. Melayan perasaan, itulah perangai Addin semenjak mengenali atoknya kali pertama. ‘Kerana permintaan mama dan wasiat daddy aku sampai ke sini.Kata mama memang tak dapat aku bantah. Akhirnya aku jejakkan juga kaki di tempat yang paling asing dalam hidup aku, kampung. Ada apa yang istimewa dengan kampung ni?.’ Hati Addin bermonolog sendiri.

Sudah tiga hari Addin di kampung ini. Dalam tiga hari itu dia memang berniat mahu lari dari rumah atoknya tapi beranikah Addin hendak lari dari rumah? kelmarin dia dah pun mencuba tapi tak jadi, kenapa? Sebab kampung atoknya ini tiada pengangkutan awam. Hendak mencari stesen bas tersangatlah jauh dan yang Addin terkilan bagaikan satu kampung itu mengenali Addin ini sebagai cucu Hj. Syarif. Kelmarin Addin cuba menumpang seorang pakcik untuk ke bandar, tapi pakcik yang mengenalkan dirinya sebagai pak musa menghantar Addin pulang ke rumah Hj. Syarif.

“Pak Musa kenapa hantar saya balik rumah atok? “ Addin menyoal pak Musa .

“Eh, iyalah! anak ni cucu Hj. Syarif kan?”

‘Pakcik ni bertanya aku balik?’ Addin mengeluh dalam hati.

“Betul pakcik, tapi saya nak ke stesen bas, jadi saya nak tumpang pakcik untuk pergi pekan,” ujar Addin satu persatu.

“Oo... Pakcik ingat anak dari stesen bas tadi nak tumpang balik rumah atok kamu, maaflah pakcik ni tak berapa dengar hari ni, telinga pak cik ni masuk air pagi tadi. Tapi sekarang ni pun dah petang sangat, bas memang tak ada dah.”

‘Ala pakcik…’ Addin mengeluh ‘apa lah nasib…’

Subuh itu bergema suara Hj. Syarif . “Bangun, dah subuh!” Addin terpisat-pisat bangun, mengantuknya belum hilang tapi mendengarkan suara garau atoknya dipaksakan badannya bangun.

“Awal lagi lah atok,” dia menjawab dalam hati, kalau jawab terang-terang agaknya kena tembak dengan senapang gajah.

”Malasnya,” hatinya membentak-bentak terasa belum puas tidur, dia sendiri tidak sedar bilakah dia terlelap setelah semalaman mendengar ceramah atoknya tentang isra’ mikraj.

“Hah! Hari ni aku cuti dari berkebun. Hissy! aku ni dah tua tapi tak ada yang nak menyenangkan aku. Dah besar gajah pun solat nak kena ajar lagi. Kecik-kecik malas belajar,” terdengar suara hj syarif merungut. Addin tahu atoknya sedang membebel tentang dirinya.

“bangun, Solat subuh!”

Terbuntang mata Addin, terkejut dek laungan kuat atoknya suara seorang jeneral memberi arahan.

“Habislah kau ed,” dia berbisik sendiri.

Sejuknya air paip yang mengalir terasa dingin dikulit tapi melihat renungan tajam Hj. Syarif, air yang mengalir itu tetap di tadah dengan telapak tangannya. Sejuknya mencengkam kulit.

“Hah! Apahal kau basuh lengan tu? Muka pun tak basuh lagi.”

“Adoi! Namanya lupa, huhuh atok ni bukan nak tunjuk” Addin menggerutu dalam hati.

“Hah, sejadah tu bentang dekat depan, kiblat arah menegak..” Hj. Syarif duduk menunggu atas kerusi rotan sambil mengarah.

“Angkat takbir, baca al-fatihah..”

‘Angkat takbir. Baca al-fatihah macam mana? Aduhh…atok ni tunjuklah sekali, main cakap je mana nak tahu’, hati Addin dah menangis terasa seksaannya melebihi latihan askar, askar pun diberi panduan tapi aku?? Hatinya memang menangis.

Disebabkan Hj. Syarif membelakangi Addin, pemuda itu pura-pura membaca sambil ekor matanya menjeling-jeling Hj. Syarif. Dari awal hingga kesudah Hj. Syarif memberi arahan

“Duduk tahiyyat. Salam kiri,kanan. Dah habis.”

Addin yang memang dah duduk, meraup mukanya, ‘dah selesai’

“Hah! susah sangat ke?” soal Hj. Syarif.

“Mana tak susahnya. kita sudahlah tak pandai atok main bagi arahan je? Ingat kita ni pelatih askar ke?” berani jawab dalam hati je. “tak atok,” suara Addin kedengaran.

“Aku tahu kau tak solat pun,”

“Alamak atok ni. Tahu je,” Desis hati Addin.

“Dah lupa atok, atok pun patutnya kena bagi panduan, tunjuk cara sekali,” ujarnya perlahan. Menyuarakan ketidak puasan hatinya,

“Dah tahu kamu tu tak tahu, lupa, kenapa kau tipu? Kenapa tak Tanya?” Ujar Hj. Syarif mengenakan Addin kembali.

“Aduh! salah aku jugak,” Addin menundukkan kepalanya mengalah.

“Dah, esok-esok aku hantar kau kelas fardhu ain. Turun sarapan dulu” Hj. Syarif bangun menuju ke dapur diekori addin.

“Kelas fardhu ain? itu bukan kelas untuk budak-budak je ke? Aku ni 25 tahun, budak lagi ke?“ Addin tak berkata apa-apa. Hanya hatinya berkata-kata.

Berani lagi ke dia menjawab? Antara sebab dia lari dari rumah kelmarin salah satunya kerana dia menjawab, dan atoknya juga ‘menjawab’ dengan menyuruhnya duduk dalam tong berisi air telaga hampir 3 jam. Ingat nak buang gian ke? Aku bukan mat gian. gerutu hati Addin tapi berani lagi ke menjawab? Siapa yang sudi nak tolong dia subuh-subuh hari tu.

Di dapur sudah terhidang nasi goreng kampung. Pertama kali sampai di rumah Hj. Syarif, itulah sarapan yang dia terima, dan dia sendiri pelik dia dapat menerima masakan kampung dengan mudah lagi berselera.

Sedang Addin menjamu selera, dia terfikir. ’ bila masa atok masak ehh? hari-hari sibuk nak merekrut aku je, tapi makanan sentiasa berhidang,’

“Hari ni ikut pergi surau, ada gotong royong,“ Hj. Syarif sudah selesai makan, sambil menghirup kopi hangat dalam cawannya dia membuka-buka helaian akhbar yang ada di atas mejanyaa.

Addin hanya menganngguk. Matanya melirik ke arah akhbar pagi yang dibaca atoknya. ‘subuh2 gini mane atok aku dapat akhbar tu pulak, aii dah lain macam atok aku ni, atok aku ke?’ hatinya bermonolog.

“Dengar tidak?” ujar Hj. Syarif.

“Iya tok. Hari ni ikut pergi surau” ujar Addin patuh.

“Cucu kau tu baik betul budaknya, rajin pulak tu. Tak sangka budak Bandar tak kekok buat kerja kampung,” sulaiman menepuk-nepuk bahu Hj syafi’i mulutnya tak habis memuji Addin,

“kalau tak kerana kolonel tak bergaji ni, tak ada budak tu nak ikut aku gotong royong kat surau nih,” balas Hj. Syarif hanya dalam hati. Bibir tua itu hanya menguntum senyum.

Dia memandang Addin yang kejauhan sedang membakar sampah terasa dia melihat bayangan arwah Ikhwan dalam diri cucunya itu.

“Assalamualaikum atok! Selamat tengah hari!!”

“Ooo selamat kau selamat..” Hj. Syarif terjungkit bangun bila dirinya disergah dari belakang.

“hihihihi” terkekek Zahra melihat lelaki tua itu melatah.

“Bertuah punya budak, dah tak sayang tok ucu ? Nak tok ucu mati cepat,” ujar Hj. Syarif

“Ala tok ucu ni suka cakap macam tu, zahra sayang tok ucu laa,” Zahra memeluk Hj. Syarif dari belakang walaupun pangkat tok saudara tapi itu lah satu-satunya lelaki yang ada dalam hidup Zahra selain atoknya sendiri, dari kedua atok ini dia menumpang kasih ayah setelah ayah kandungnya meninggal dunia.

“Tok ucu ingat Zahra balik esok,”

“Tak jadilah tok ucu, asyik teringatkan tok ucu jee,” ujar Zahra manja tanpa dia sedar dari jauh ada mata memandangnya.

“Haa… ingat kat tok ucu dia je. Atok dia ni tak ingat,” Ismail datuk kandung zahra muncul di muka pintu surau.

“Ishh dengan atok lagi Zahra ingat,” dengan muka manja Zahra memujuk atoknya.

‘mm.. mm….’

“Menyendeng-nyendeng macam kucing.. “ujar Ismail pada cucu tunggalnya itu, Zahra hanya tersengih.

“Zahra, bawakan air yang mak sediakan,” gadis itu mengeluarkan bekas teko dan beberapa cawan.

“aa…” terbantut Hj. Syarif mahu mmanggil Addin. Pemuda itu sudah tercegat di hadapannya dengan wajah tersenyum.

“Zahra, atok kenalkan dua pupu kau ni. Anak arwah pak sepupu kau pakcik Ikhwan, Addin,”

“Hai..” sapa Addin, jarak antara mereka agak jauh..

Zahra hanya tersenyum menandakan salam perkenalannya pada Addin. Hatinya sedikit terusik, dia memandang wajah tok ucunya. Ada lakar yang tak Zahra mengerti tapi yang Zahra pasti tok ucunya itu pernah merana kerana kedegilan anaknya ayah kepada dua pupunya ini. Membuatkan tok ucu memendam rindu yang tak kesampaian, dan apa lagi yang dimahukan cucu tok ucu ini?

“Zahra,” atoknya menegur.

Zahra tersedar.

“Mm oke la atok-atok semua Zahra nak balik dulu dah nak masuk waktu nih,”

“Pakcik Sulaiman kau ni belum atok-atok lagi tauu…” acah pakcik Sulaiman yang sedari tadi hanya menyaksikan kegembiraan keluarga ini.

“Iya lah pakcik ngan atok-atok sekalian. Zahra balik dulu, assalamualaikum,”

Addin melirik pada gadis bertudung biru itu. Wajahnya damai sekali, penuh ceria dan mampu membuatnya cemburu. kenapa harus cemburu? matanya beralih ke arah Atoknya yang sedang rakus menghirup teh hangat yang dibawa zahra tadi. Hatinya terkesan cemburu bila atoknya membahasakan dirinya sebagai tok ucu dengan mesra. Sedangkan dengan dia ber‘aku kau’ dan tak pernah sekali pun Hj. Syarif menyebut namanya semenjak dia disini.

“Atok,” hatinya menjerit

Bagai tertarik magnet, Hj. Syarif memandang wajah Addin mata mereka bertentangan tapi hanya beberapa saat.

“Hurm, abang saya balik dululah. Nanti lepas zohor kami datang lagi Insyaallah,” Hj. Syarif bangun dari pangkin tempat dia duduk.

“Tak berjemaah sini ke?” soal Ismail.

DEG!! ‘alamak’ dada Addin berdebar pantas.

“Tak lah bang. Badan ni dah melekit, budak ni pun tadi main asap kami balik mandi dulu. Balik dulu Sulaiman. Assalamualaikum,” kata-kata Hj. Syarif membuat Addin menarik nafas lega.

“Waalaikumussalam” serentak keduanya menjawab.

Sebulan Addin di rumah Hj. Syarif , belum pernah dia mendapat panggilan dari mamanya. Sebelum datang mamanya pernah berpesan, selagi dia tak mengenal erti Islam dan menghayatinya sungguh-sungguh, ‘jangan telefon mama nanti mama akan rindu’. Kata mamanya. Dia sendiri pun sebenarnya terasa begitu, takut untuk menalifon mama. Takut dia tak bertahan tinggal dirumah atoknya. Sebulan di rumah kampung sungai nilam ini banyak mengenalkan dia erti Islam dan menjadi muslim sejati. Damai yang dia cari selama ini rupanya sudah ada di hati tapi kelam dan suram tanpa dia mengenal agamanya sendiri.

“Biarlah mama berkorban rindu. Semoga penyesalan mama tak mendidik Addin dengan ilmu agama yang sempurna, dapat atok tunaikan, dan itulah sebab utama mama dan arwah daddynya menyuruhnya pulang di kampung. Meninggalkan kerjaya dan juga jauh dari mamanya. Tinggallah mama seorang menguruskan perniagaan. Bukan dia tak membantah tapi dia tak pandai memberontak. Kerana didikan hormat pada orang tua itu mendalam di hatinya.

Addin khusyu’ dengan bacaannya. Nyaris sahaja atoknya nak mendaftarkan nama dia dalam kelas fardhu ain yang sedang berjalan di surau kampungnya. Nanti silap hari bulan orang kampung bertanya. Hj. Syarif ada cucu kecil lagi ke? Bukan sorang je cucu dia? Memang sorang je dan dialah bakal penghuni tu, tapi sempat dia memberikan idea lain pada atoknya.

“Atok ada tak buku fardhu ain? Boleh ed baca. Nanti ed tak faham ed tanya,” mudah rupanya dia dapat memujuk Hj. Syarif.

Petang itu sedang Addin melayan buku kecil di tangannya, dia disapa gadis bertudung biru atau lebih tepat dua pupunya.

“Hai, Zahra,dan ni siapa? Tak pernah tengok pun,”

“Intan, memanglah tak pernah intan duduk asrama sebulan sekali je balik,” gadis kecil molek di sebelah Zahra menjawab petah.

“Owhh Intan adik kak Zahra ya, kiranya adik Intan dua pupu abanglah kan,” ujar Addin berbasa-basi. Melihat wajah Zahra yang tak bersahabat membuat hatinya tertanya lain benar suasana wajah Zahra dari kali pertama dia melihat gadis itu.

“Panggil abang ed je,” dia menghulrkan tangannya pada Zahra spontan. Membutang mata Zahra.

“Bukan muhrim,” jawab Intan bagi pihak kakaknya.

‘Adesss… kenapalah aku boleh lupa padahal aku dah belajar, dengan atok pun dah berbuih kena ceramah pasal halal haram. Ini atok tengok mau dia rendam aku dalam sawah pulak,’ Addin tersengih sambil tangan yang dihulurkan menggosok belakang kepalanya.

“Erm duduk lah,” Addin mempelawa. Intan terus saja memanjat pankin duduk di atas berhampiran dengan atap sambil tangannya leka mengutip bunga kemboja yang rendang.

“Awak,”

“Saya ada hal penting nak Tanya,” potong Zahra cepat.

“Apa dia? Apa yang boleh saya jawab, saya jawab,”jujur Addin berkata.

“Kenapa awak balik sini? Awak nak sakitkan hati tok ucu lagi? Awak tak tahu ke dia merana? Rindu dia pada anaknya tak kesampaian. Rasanya kalau awak tak balik mungkin dia dah lupa yang dia ada anak, ada cucu, dan taklah dia akan sedih lagi selepas awak pula pergi tinggalkan dia,”

Riak wajah Addin berubah bila disembur begitu, hatinya juga terasa dihenyak batu dituduh begitu.

‘betulkah kehadiran aku menambah duka dalam hidup atok? tapi itu juga yang aku lihat, sebulan aku disini layanan atok tetap seperti dulu, dingin, dingin sekali bila atok memandang wajah aku. Apakah hati atok sakit bila pandang aku? Ya Allah apa aku nak buat sekarang?

“Zahra, saya tak,”

“Jangan pula awak tak mengaku awak datang kesini semata-mata kerana tanah kebun tok ucu? nak memikat hati tok ucu untuk menyerahkan tanah tu pada awak?”

Addin tersentak! Tanah? Dia tidak mengerti, kebun? terbangun Addin mendengar kata gadis di depannya.

“Apa maksud awak, Zahra? Apa kena mengena saya balik denagn tanah kebun tu?” Addin mengawal antonasi suranya agar tak berubah. Dia menahan nafas, menekan sabar, gelodak marah membuak bila dia dituduh begitu. Dia mengawal dirinya, dia cuba duduk untuk bertenang.

“Saya cakap awak balik ni sebab nak tanah tu. Awak hanya berpura-pura berubah. Sampai hati awak buat atok awak macam tu?” ulang Zahra dengan perlahan hatinya sebak, sebak mngenangkan tok ucu rela dipermainkan cucu sendiri.

Intan yang menjadi pendengar dan peneman setia kakaknya mula beransur turun dari pankin dan berdiri di belakang Zahra.

“Akak jom balik,” bisik intan perlahan, tangannya meraut lengan Zahra perlahan tapi ditepis Zahra yang masih belum berpuas hati.

“Kalau awak nak berubah. Berubahlah kerana Allah bukan kerana harta,” ujar Zahra. “tok ucu rindukan awak sekeluarga. Dia bahagia sangat bila dengar awak nak balik, tapi dia juga terkilan dengan ‘sebab’ awak balik, “ sambung gadis itu terbata-bata menahan tangis ditekankan antonasi suaranya ketika menyebut ‘sebab’.

Addin menahan rasa. Matanya terpejam. Ya Allah inikah silapku, aku berubah kerana sesuatu bukan kerana MU ya Allah. Dengan sekejap kau timpakan aku ujian untuk menyedarkan aku ya Allah.

“Apa sebab saya balik?” soal Addin ingin mengetahui. Matanya masih terpejam.

“Sebab janji tanah tu! Awak tak ikhlas! Awak pentingkan diri,” ujar Zahra perlahan menahan nafas amarah. Gadis itu menarik nafas perlahan. Sudah cukup dia melihat tok ucunya melayan sandiwara Addin. Dia tahu tok ucunya terkilan sekali dengan Addin. Bila dijanjikan tanah barulah Addin pulang, barulah cucu yang tak pernah ditatapnya hadir.

“Tapi saya tak tahu apa-apa pasal tanah tu. Tak tahu, saya balik kerana mama,” perlahan sekali Addin menjawab.

‘Tuduhan apa yang aku terima ini ya Allah… ya Allah aku berubah ini keranaMU ya Allah. Bukan kerana mama dan daddy, bukan juga harta yang aku tidak tahu-menahu’ rintih hatinya perlahan.

“Sudahlah, kalau awak tak mengaku saya tak kisah. Cuma yang saya harapkan kalau awak hanya berpura-pura lebih baik awak jangan pulang kesini. Tapi kalau betul awak sayang tok ucu tolonglah menyenangkan hati dia,” ujar Zahra perlahan. Beban yang dia tanggung terasa lepas. Dia mengorak langkah sambil menarik tangan Intan pulang. Hatinya puas puas dapat membela tok ucunya, tak sanggup dia lihat tok ucunya melayani kerenah insan yang tak pernah menyayanginya.

Dua hari mereka tak bersua. Kerana memang kebiasaan Zahra akan datang menyediakan makanan di rumah Hj. Syarif yang di masak di rumahnya. Addin banyak termenung Hj. Syarif yang melihat kelakuan cucunya itu bimbang jika cucunya berubah kembali menjadi diri yang tidak nyata.

“Addin, kenapa kamu ni ? atok risau tengok keadaan kamu macam ni,” Hj. Syarif menghampiri cucu lelakinya itu. Tangannya hampir mendarat di kepala Addin, mahu mengosok dan mendamaikan hati anak muda di hadapannya, tapi tangannya terawang begitu sahaja. Dia membatalkan niat.

‘terasa hati benarkah atok? Ya Allah benar kata Zahra, jika aku sayang pada atok. Aku harus menyenangkan hati tuanya, biarlah aku jadi pengganti daddy membalas segala jasa baik atok. Atok cucumu ini takkan meninggalkanmu, akan sentiasa disisimu.’ bisik hatinya. Tapi di kepalanya masih berserabut dengan kata-kata Zahra tentang tanah dan kebun, dia tak mengerti.

Di pandang wajah Hj. Syarif yang sudah melabuhkan punggungnya di kerusi hadapan Addin.“Atok…” Addin bersuara. “boleh Addin tahu pasal tanah kebun atok?” sambungnya perlahan.

Mendengar pertanyaan Addin hati Hj. Syarif bagai disiat-siat. Dia tahu masa akan tiba.

“Addin jangan bimbang, atok dah janji akan bagi tanah kebun tu pada Addin jika Addin balik dan Addin dah balik. Cuma atok akan terus tunaikan jika Addin tunaikan hasrat atok dulu,” datar sekali suara Hj. Syarif .

Kening Addin terjungkit “hasrat apa atok?” Addin memandang wajah atoknya..

Mendengar soalan dari mulut Addin, hati Hj. Syarif tak keruan. “Semata tanah itukah cucuku pulang? Ya Allah tabahkan hatiku sekali lagi,”

Seminggu selepas Addin bertanyakan soal tanah pada atoknya. Semuanya berubah sekelip mata. Hidupnya takkan sama selepas ini, tapi Addin senang sekali dengan permintaan atoknya. Sudah dua hari atoknya ke Bandar bersama kawannya. Ke pejabat tanah katanya. Addin sendiri tidak sedar bila atoknya turun dari rumah, hanya ditinggalkan sekeping nota kecil untuknya.

Addin seperti biasa tenggelam dalam buku tua milik Hj. Syarif. Penat matanya mengadap kitab kuning milik atoknya. Di faham setiap apa yang tertera dengan teliti. Matanya dah penat. badan pun letih, dua hari dia tak menyentuh makanan berat. tak ada siapa yang perasaan malah isterinya sendiri yang baru dinikahi tiga hari lalu. Kerana sayanganya Zahra pada atok ucucnya, gadis itu merelakan perkawinan antara mereka. Berkahwin dengan Zahra, itulah hasrat atoknya. Menolak gadis berlesung pipit itu memang merugikan bagi Addin. Sekalipun yang dia dapat hanya jelingan maut dari gadis itu, dia membalasnya dengan senyum nakal dan mimik muka tak mengerti. Dalam diam Zahra juga bersyarat padanya.

Semenjak atoknya keluar ke bandar untuk menguruskan hal tanah. Hanya dia dan Zahra di rumah. Gadis itu janggal duduk berduaan dengannya, selesai sahaja memasak terus dia pulang ke rumahnya yang jauhnya hanya sepuluh langkah. Manalah Addin berselera menjamah makanan seorang diri, gadis itu pula pulang ke rumah hampir isya’, zahra marah dengan Addin, tapi sayangnya pada tok ucunya itu membuatkan dia tak mampu menolak permintaan Hj. Syarif.

Semenjak Hj. Syarif ke bandar, mereka tidur bilik berasingan. Addin tahu ada yang salah sangka terhadap dirinya. Dia perlu betulkan keadaan. Mengingatkan mama yang datang dengan wajah berseri-seri pada hari perkahwinannya. Dia menguatkan tekad takkan menyusahkan sesiapa lagi, dia benar-benar akan berubah.

Addin bangun menuju ke dapur, bunyi keletuk-keletak di dapur menghairankan Addin.

‘Ee? atok tak ada. Zahra? Tadi dia dah minta izin nak ke bandar,’

Berbagai terkaan hinggap di kepala Addin, dia berjalan malas, dengan hanya memakai seluar track tanpa baju dia turun ke dapur. Bunyi pinggan berlaga sudah pun berhenti, kening Addin terangkat, kakinya melangkah menuju ke kabinet dapur yang sedikit terselindung. Matanya menangkap objek tangan yang bermain pisau berhampiran meja, kecil dan halus seperti tangan anak kecil.

Dia melangkah ke hadapan setapak. Entah macam mana muncul kain biru di hadapan mukanya.

“maakkkkkk!”

“argghh!”

Terdengar dua suara bertingkah menjerit kuat.

Praanggg! Pinggan yang di pegang Zahra terlepas tepat mengenai jari kaki Addin.

“AaaauuuochhHH.. auucchh..” terjingkit-jingkit Addin memegang jari kakinya yang tertimpa pinggan kaca.

Setelah tenang Zahra memandang sosok tubuh di hadapannya.

“awak!” kedua nya terkejut. Zahra memalingkan wajahnya. Dia terkejut melihat Addin tak berbaju. Addin pula terkejut ingatkan hantu.

Addin meletakkan kakinya ke lantai sengal dihempap pinggang belum hilang .

“Aauucchh!” sekali lagi dia mengaduh dengan lebih kuat. kakinya terpijak kaca yang pecah. Hampir terbaring dia di situ. kakinya terasa bisa. Sudahlah sakit dihempap belum hilang. Zahra serba salah. Mahu memusingkan badannya melihat Addin atau terus membelakangi Addin. Sungguh, dia malu melihat Addin tak berbaju atoknya sendiri di rumah tak pernah Zahra melihat dalam keadaan begitu.

“ Kenapa? ada apa Zahra, intan, astaghfirullah. Addin, kenapa ni. Ya Allah berdarah. Kenapa ni? Zahra, tolong suami kau ni…” ibu Zahra yang terkocoh-kocoh datang dari belakang rumah terkejut melihat Addin duduk memegang kakinya yang berlumuran darah.

“Dia suami aku. Dia dah jadi suami aku,” getus hati Zahra.

Lambat-lambat Zahra memusingkan badannya. Intan turut menjenguk keadaan abang iparnya. Terkejut Zahra melihat tompokan darah yang banyak.

“Zahra, cepat panggil atok kita bawak…” belum pun habis ayat ibunya, zahra berlari keluar memanggil atoknya.

“Zahra duduk rumah, tunggu rumah tok ucu, atok pergi dengan pak abu kau,” atoknya berpesan. Dari kejauhan Zahra memandang Addin yang berkerut muka menahan sakit sambil dipapah atok dan pak abu.

“Ya Allah apa aku dah buat…” Zahra membasuh bekas tompokan darah Addin.

“Zahra, biar kat situ, biar mak buat,” Salmiah cepat-cepat mengalih badan Zahra ketepi.

“Zahra, kenapa hubungan kamu dengan suami kamu?” soal Salmiah sambil tangannya lincah mengutip kaca yang pecah.

Salmiah menoleh ke arah Zahra yang membisu tidak menjawab. Anak perempuannya itu hanya menundukkan muka, ada juraian air mata dipipi mulusnya.

“Dia balik sini dan dia kawin dengan Zahra sebab tanah kebun itukan?” soal Zahra perlahan.

“Apa? Apa Zahra cakap ni? ya Allah… mana Zahra dengar tu?” salmiah begitu terkejut bagaimana anaknya tahu.

“Zahra dah dengar mak, dah tahu, Zahra dah tanya dia, tapi dia tak nak mengaku,” air matanya semakin laju, dadanya sebak.

“Siapa ‘dia’ tu? Dia suami Zahra sekarang? Zahra, ada sesuatu yang Zahra belum tahu,” ujar salmiah sambil menarik nafas panjang, dia hanya menggelengkan kepalanya dengan kesal.

“Ya Allah apa aku dah buat. Aku tuduh dia, aku marah dia ya Allah, derhakanya aku pada suami aku,” rintih hati Zahra.

Ismail begitu marah tapi marahnya lebih kepada diri sendiri. Hj. Syarif yang baru pulang terkejut melihat suasana di rumahnya .

“Ucu, maafkan abang. Abang gembira sangat hari itu, bila balik abang lupa nak memberitahu kau. Ya Allah… Zahra, ini salah atok, buat kamu semua salah faham dengan Addin. Astaghfirullah” Ismail tak henti-henti beristighfar.

“Apa maksud abang? “ Hj. Syarif kebingungan.

“Hari yang kau minta aku pergi jumpa menantu kau Norish, aku tak sebut pun pada dia yang kau akan beri dia tanah kebun tu dengan syarat Addin balik dan tunaikan hasrat kau. Aku tak sebut sikit pun depan Norish pasal tanah. Diorang anak beranak memang tak tahu apa-apa pasal tanah tu. Hari tu masa aku jumpa Norish. Menantu kau yang buat aku terkejut, dia yang bersuara dan beria menyuruh Addin balik. Katanya, dia dan arwah Ikhwan menyesal kerana mengikut hati muda. Norish yang minta Addin balik tanpa sempat aku buka mulut pun.” cerita Ismail pada adiknya panjang lebar.

“Astghfirullahhal’azimm..” Hj. Syraif meraut tangannya ke muka. Dia bangun berjalan ke bilik Addin. Zahra yang bersandar di tepi dinding tak keruan mendengar cerita atoknya. Hj. Syarif mengusap bahu cucu saudaranya itu perlahan.

“Maafkan tok ucu.” ujarnya perlahan. Di heret kaki tuanya melangkah masuk ke bilik Addin. Di lihatnya pemuda itu tertidur nyenyak. mungkin ubat bius yang di beri tadi belum hilang. Hj. Syarif mengusap-ngusap ubun-ubun kepala Addin. “Maafkan atok, Maafkan atok sebab tak mengenali diri Addin dengan dalam.”

Subuh itu Addin terjaga. Kakinya terasa menyucuk-nyucuk. Dia cuba bangun, tapi di dada bidangnya terlingkar satu tangan. Zahra, dia tertidur di sisi Addin. Sedang tangannya memeluk Addin. Addin menarik nafas perlahan. Semalam dia dengar semuanya. Dia lali dengan ubat bius yang di berikan tapi telinganya masih dapat menangkap butiran bicara di luar, dan dia juga mendengar esak tangis Zahra. Selepas itu tiada apa yang dia dengar, sebab dia memang lena. Lena bila atoknya masuk dan mengusap kepalanya. Addin mengukir senyum. Ditoleh kepalanya ke sisi bila merasakan tangan Zahra beralih dari dadanya. Mata mereka bertentangan. Kali pertama dia memandang Zahra tanpa tudung. ‘ahh benar-benar cantik…’ cetus hatinya.

Tangan Addin diraih Zahra lembut.

“Maafkan, Zahra. Zahra berdosa pada abang,” air mata Zahra luruh lagi. Dia dah cuba menahan tangis, tapi apa daya dia.

Addin menarik Zahra ke pangkuannya.

“Tak ada siapa yang salah, Zahra. Semua orang memang ada silapnya tapi apalah yang nak dibandingkan dengan saudara sendiri,” ujar Addin perlahan. Air mata lelakinya turut gugur. merasakan pelukan Zahra yang makin erat, Addin puas.

“Ya Allah di sebalik ujian-Mu, kau berikan aku hikmah dan kegembiraan yang tak terhingga,” ucap Addin dalam hatinya.

“Sayang, bangunlah pimpin abang ke bilik air. abang nak wudhu,” Addin mengusap bahu Zahra.

“Nantilah awal lagi, atok duk mandi nu,” ujar Zahra lembut tanpa mengalihkan badannnya.

“Kesian atok. Atok yang dapat nama. Itulah merajuk sangat nak tidur bilik lain-lain. Kan dah rindu,” usik Addin sambil tersengih. Bahagianya dia.

Zahra bingkas bangun mendengar usikan Addin, tapi lelaki tu menarik kembali badan Zahra.

“Bangun, dah subuh!”

Terkaku pasangan itu dalam bilik mendengar suara Hj. Syarif yang kuat di subuh hari.

“Atok ni. Kenapalah balik. Duduklah kat pejabat tanah tu. Huhuhu,“ bisik Addin perlahan. mana boleh kuat-kuat nanti kena rendam lagi malulah dah ada isteri tapi kena denda dengan atok lagi.

“Hissh! abang ni,” Zahra menepuk dada Addin perlahan. Di bibirnya terukir senyuman manis.

“Zahra, kamu nak atok masuk papah suami kamu ke?” ugut Hj. Syarif.

Zahra menarik muncung, “Tak sabarlah atok ni,” hatinya mengomel

“Abang, siang nanti kita pindahkan atok ucu kerumah atok la, kita dua je duduk sini.”

“Ha?” Addin ternganga dengan rancangan Zahra .

“Hihihihi,” Zahra ketawa perlahan disambut Addin. Senang Addin mendengar gurauan Zahra. Gadis yang pertama kali dia kenal dulu sudah kembali.

“Haisshhh! Bangun, dah lewat aku kata. Aku ingat dah kawin tak payah aku jaga. Rupanya bertambah sorang lagi aku kena jaga. Tak boleh jadi nihh. Esok aku pindah rumah. Hah! korang duduk la berdua,“

Mendengar leteran dan ugutan Hj. Syarif yang memanjang itu semakin kuat, mereka ketawa serentak. Addin merenung wajah isterrinya. apa yang ada dikampung ni? dia mendapat bahagia. Bahagia dunia dan dia mendoakan juga agar mendapat bahagia akhirat.


Psstt..: cerpen ini setelah diedit serba sedikit di mana salah dan kurangnya.. penulis pernah menghantar cerpen ini di laman penulisanku 2u tajuk juga kurang sesuai, dan mungkin masih banyak kesalahan. penulis amat memerlukan banyak bimbingan lagi untuk melihat kesalahan dan memperbaiki lagi tulisan dalam cerpen ini.. sudi2lah menegur (^_^)


terime kasih sudi baca.. dan sudi-sudi la komen..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...