teks

^_^ ..
apa yang ditaip ini sebagai sebuah perkongsian dan buat bacaan siapa yang sudi ^_^ ..
sekadar ruang menulis dari lubuk hati ^_^ penulis, berimaginasi sendiri dan diluahkan dalam bentuk cerita. terima kasih pada yang sudi membaca. semuanya hanyalah taipan jari jemari penulis blog hijau ^_^ ini...


PsssStt ; buat yg sudi follow
jgn lupa tinggalkan link pada shoutbox ya ^_^
nanti boleh saya jenguk sana pula..

Followers

Tuesday 6 November 2012

kasih kerana Allah


Suatu petang yang redup. Luqman menanti-nanti kepulangan isteri kesayangannya. Petang sudah beranjak lama. Tapi kelibat Mawardah, suri hatinya masih belum pulang. Diari hitam berkain baldu dibiarkan tergeletak di ruang tamu. Kebiasaannya dia dan Mawardah akan ke surau bersama-sama. Tapi hari ini ada urusan yang memerlukan dia keluar ke pekan dari awal pagi tadi. Pulang sahaja seusai solat asar di masjid kota tadi.
Petang yang makin beranjak meresahkan hati tua Luqman. Mawardah belum pulang. Padahal jarak antara rumah dan surau bukanlah jauh. Pandangannya dilemparkan ke arahkan jalan, memerhati sekiranya ada sosok tubuh kekasihnya itu. tapi hampa belum ada bayang pun. Dengan perlahan Luqman menuruni anak tangga niatnya untuk pergi menjenguk di mana kelibat Mawardah. Seketika langkahnya terhenti, bergegas tubuh tua itu kembali menaiki anak tangga.
“Husna,” dipanggil nama anak perempuannya perlahan.
Sekejap sahaja Husna sudah terpacak di muka pintu “Abi panggil Husna?”
Luqman melemparkan senyum. “Husna, Abi jenguk Ummi di surau sekejap, Husna tunggu rumah ya,” ujarnya lembut.
Anak gadisnya mengangguk. “Abi nak Husna temankan?”
“Dekat je tu, kamu tunggu rumah, nanti adik kamu Huzaifah pulang, rumah berkunci pula.”
Husna menghantar abinya dengan pandangan. Dia faham resah abinya. Tahu betapa sayangnya abi pada umminya. Husna melangkah ke dalam rumah. Matanya bertemu pada sebuah buku kecil. Hatinya tergerak untuk menyelak halaman yang ada.
Tanggal 9 hb 9 1889
Aku melamar suri hati untuk menjadi pendamping hidupku. Seorang hawa untuk menemani aku di sisi, seorang isteri dan ibu kepada anak-anak cilikku. Seorang teman yang berkongsi duka dan tawaku. Juga untuk melengkapkan hidup dan saling mengisi kekurangan yang ada untuk mengisi ruang yang ada dirusukku.
Tapi aku diberitakan mertuaku bahwa suri ku ini adalah wanita yang banyak kurangnya, tiada sempurna. Redhakah aku menerimanya? Soalan yang berat untukku menjawab tapi dengan hati yang tekad daan pasrah aku menyanggupi. Kerana hatiku sudah terpaut padanya, ketika aku belum pernah melihat wajahnya, belum pernah bersua muka, malah belum pernah berkenal-kenalan dengannya. Tapi hatiku sudah tercuri bila mana mendengar suaranya mengajar anak-anak kecil membaca muqaddam. Di sebalik tirai musolla kecil yang seringku tumpangi solat asar berjemaah ketika selesai bekerja.
Saat kali pertamaku melihatnya terasa aku diberi kekuatan untuk aku selidiki, siapakah dia?
Hari di mana aku datang bertandang ke rumahnya, membawa hajat dan hasrat. Dengan rendah hati aku diterima. Tetapi bakal mertuaku telah menyatakan sesuatu padaku. Terkejut semestinya bila aku mendengar kata-katanya.
“ Apa kau akan bersabar dengan sikapnya yang akan sedikit demi sedikit lemah daya ingatannya, yang akan memerlukan pesanan atau peringatan dari mu. Apa kau sedia nak, berada di sisinya selalu agar dia tidak hilang? Aku tidak tahu bila akan berlaku, tapi sanggupkah kau memikulnya?”
Aku ingin menjawab tapi ditahan bakal mertuaku dengan isyarat tangan tanda bersabar dulu.
“Anakku, kemudaan puteriku akan hilang, kecantikannya akan pudar, akan timbul urat tua di wajahnya, apakah itu disebabkan penyakit atau usia aku tidak tahu, tapi apa kau sanggup menerima seadanya wajah isteri mu nanti? Semua itu mungkin juga akan berlaku lima tahun atau sepuluh tahun, aku tidak tahu,”
Sekali lagi aku ingin menjawab tetapi terlebih dahulu tanganku dipegang lelaki tua di hadapanku, ayah kepada bakal suri hidupku.
“Anakku, adakah kau sanggup menerima puteriku yang akan sering sakit? Sanggupkah kau di sisinya ketika dia menangis dan mengaduh? Aku tidak tahu bila dia akan sakit, dan sampai bilakah umurnya, aku tidak tahu malah puteriku juga tidak tahu. Tapi apa kau sudi menerimanya jika dia berada dalam keadaan yang lemah?
Semakin berat persoalan yang dituju, tapi hatiku telah nekad.
19 hb 9 1989
Pernikahanku.
Akhirnya Mawardah menjadi suriku jua, mendampingi hidupku dengan haruman akhlaknya dan sifatnya yang lembut tapi tegas. Kata-kata mertuaku dulu kusimpan di lubuk hati untuk peringatan, tiap malam dalam munajatku tak lupa kusisipkan doa agar aku dan suriku sentiasa dalam berkahNYA.
18 hb 9 1993
Setahun dua tahun berlalu dan kini sudah hampir empat tahun. Seri hidupku bertambah dengan cahaya mata yang menjadi buah hati kami sikembar Husna dan Huzaifah. Pasangan kecil yang banyak keletah dan cerdas, berusia tiga tahun. Dan Mawardah, suriku itu masih di situ tetap setia di sebalik tirai masjid disetiap kali petang menjelma mengajar anak-anak kecil muqaddam. Kerjayanya sebagai seorang guru agama di sekolah rendah agama tidak menghalang dirinya untuk kekal mengajar anak-anak sekitar masjid itu belajar mengenal al-Quran.
Masih banyak rupanya yang tidak kuketahui Mawardah isteriku ini. Segalanya tersingkap sedikit demi sedikit. Dan sungguh aku bertuah kerana aku tidak salah dalam memilih. Allah yang telah menetapkan dia sebagai jodohku. Tapi pesan mertuaku masih berlegar di kepala. Sering aku memandang wajah putihnya, ku tilik perilaku dan gerak gerinya. Dia tetap Mawardahku, tiada yang kurang, malah tiada yang perlu aku risaukan.
Dia pelengkap hidup aku dalam meniti perjalanan. Ketika aku lupa dia yang sering mengingatkan. Dia yang menjaga pakai minumku. Sakitku dialah penawarnya. Mawardah, suri hatiku masih lincah, bergerak ke sana ke mari merangkul anak-anak kembar kami yang mula nakal mengusik umminya berlari ke sana sini. Dikendong dan didodoi sikembar dalam pangkuan, sungguh dia perempuan kuat.
Setiap hari rutinnya biasa, sekolah bermula pagi, pulangnya melayan kerenah anak-anak. Dalam seminggu Mawardah memperuntukkan dua hari untuk mengajar anak-anak sekitar kampung belajar al-Quran. Tapi hari-harinya masih dihidupi dengan senyuman yang tak lekang di bibir, dan melaluinya dengan semangat yang sentiasa membara.
Benar aku jatuh cinta padanya walaupun sudah empat tahun usia perkahwinan kami, tetapi hati aku sentiasa mengucapkan itu ‘aku jatuh cinta padanya’. Indah rupanya bercinta di alam perkahwinan. Segalanya tidak ada yang membataskan. Aku bebas mengucap dan meluahkan. Berkahwin bukanlah sebuah perjalanan yang sukar untuk aku memahami dan mengenali pasangan hidupku. Kerana dari permulaan tanganku digenggam bapa mertuaku yang telah menikahkan kami. Aku telah menyerahkan ruang hatiku yang tersisa padanya. Hati yang ada telah aku serah pada-NYA. Ku kongsikan untuk kaum keluargaku, tapi masih ada cebis kasih yang telah aku simpan lama untuk seseorang untuk menghiasi hatiku. Dan aku dianugerahkan cinta Mawardah.
Husna tersenyum sendiri membaca tulisan abinya. Benar apa yang ada di benak fikirannya. Abinya teramat menyayangi ummi. Dan ummi juga merupakan ibu yang paling dibanggakan Husna, umminya sanggup berkorban apa sahaja untuk dia dan Huzaifah, ummi menunjukkan ketabahan hati dan sifat tegas perempuan yang masih ada kelembutannya. Di sebalik garang umminya dalam mendidik mereka, tapi ummi juga penawarnya. Maka layaklah abinya amat menyayangi ummi.
Tangannya terus membuka lembar demi selembar halaman buku itu.
19 hb 9 1997
Sudah hampir setahun anak-anakku mula bersekolah. Masih aku ingat dihari pertama persekolahan buah hati kami. Anak lelakiku Huzaifah yang manja merengek mahukan ummi duduk bersamanya di dalam kelas, memandangkan kakak kembarnya tidak berada di kelasnya. Mereka berada di kelas berlainan, kerana sekolah ini tidak menempatkan pelajar lelaki dan perempuan dalam satu kelas. Husna anak gadisku yang lincah tidak menghiraukan adik kembar dan umminya. Malah hari pertama sekolah dia sudah ke sana ke mari hinggap disatu meja ke meja yang yang lain, bertanya nama dan menghulurkan tangan kepada kawan-kawan barunya.
Cikgu memujuk Huzaifah membenarkan ummi pulang dan tidak menunggunya di kelas. Mawardah hanya tersenyum. Esoknya Huzaifah tidak lagi mahu berteman. Katanya dia anak lelaki, mesti jaga ummi. Masih terngiang-ngiang kata anak lalaki ku. ‘ummi, kelas Huzaifah semua lelaki. Tak payahlah ummi ikut Huzaifah ya, ummikan perempuan. Lagipun ummi kawan-kawan Huzaifah pun tak ikut.’
Mawardah, masih juga tersenyum. Dan aku ikut tersenyum senang. Punya anak-anak sebagai buah hati yang memahami dan menyenangkan ibu bapanya. Alhamdulillah ya Allah kau terus menerus memberi hamba-MU ini kebahagiaan.
Husna memeluk diari baldu milik abinya. Air matanya menitik.
“Ya Allah, adakah aku sekarang masih menyenangkan hati kedua ibu bapaku? Adakah aku telah menjadi anak yang telah menggusarkan hati ibu dan bapaku?” Hatinya merintih dia teringatkan perbicaraan mereka tempoh hari. Bermula dari saat dia memberitahu ada seseorang hendak datang meminangnya.
“Benar Husna tidak ragu dengan pilihan yang Husna buat?” suara garau abinya kedengaran lembut tapi tegas.
Husna menundukkan wajahnya. Bukan takut pada wajah garang abinya, kerana abinya belum pernah bersikap garang. Tapi takut untuk melihat jika ada garis duka di wajah itu. Umminya pula hanya berdiam diri membiarkan mereka berbicara. Begitulah Ummi tidak akan menyampuk jika merasakan abi lebih berhak untuk memberi kata putus selagi mana abinya tidak menyalahi dalam mengambil tindakan yang wajar.
“Iya abi, maafkan Husna abi. Husna tidak bercinta dengannya tapi Husna mengenalinya. Husna tahu peribadi agamanya. Husna yakin dia mampu membimbing Husna.”
“Husna sayang, abi tidak marah, tapi abi tidak mahu Husna terburu-buru.”
“Abi, Husna tahu, Husna masih muda. Haikal juga juga masih muda. Tapi Husna akan ikut apa sahaja kata abi. Husna takkan membantah, Husna sayang abi.” Husna menggenggam tangan tua abinya dan dikucup perlahan-lahan.
Luqman mengusap lembut kepala Husna. Apalah yang hendak dia marahkan jika yang datang itu adalah perkara yang baik. Tapi dia hanya takut jika anak perempuannya bersikap terburu-buru. Dia tahu Husna tidak akan bercinta, tumpuannya hanya kepada pelajaran. Dari cerita Husna sendiri pemuda bernama Haikal mengenalinya baru sekali. Tapi Husna sudah mengenali Haikal dari jauh kerana Haikal ketua biro dakwah yang aktif di sekolahnya dulu.
Hati seorang ayah yang tak mampu dia luahkan, bagaimana dia ingin meepaskan anak perempuan yang ditatangnya selama ini. Bagaimana nasib anaknya. Apakah bahagia dan betul keputusan yang di ambil. Semuanya perlu diperkirakan. Husna amanah dan tanggungjawabnya. Buah hati dan pengarang jantungnya. Luka Husna parahlah hatinya.
“Husna sayang, boleh abi mengenali Haikal?”
Husna mengangguk perlahan. kepalanya dilabuhkan ke paha abinya, sikap manjanya makin terserlah.
“Assalamualaikum,” satu suara kedengaran di luar. Lamunan Husna putus. Diari hitam itu diletakkan kembali atas meja ruang tamu.
Huzaifah melangkah naik dengan tenang. Baru pulang dari sekolah tempat di mana dia sedang mengajar sebagai guru sementara.
“Mana abi dengan ummi,” Huzaifah mencapai tangan Husna dan bersalam.
“Ummi belum balik dari surau, abi pergi cari ummi tadi,” ujar Husna dengan dahi berkerut. “Dah lama juga. Akak nak ikut abi kata tak payah. Kamu tahukan abi. Bila dia risaukan ummi rela dia pergi sendiri.”
“Abi pergi tengok ummi kat surau?” soal Huzaifah hairan. “tapi ummi tak ada pula telefon Huzaifah, biasa kalau ummi lewat balik dia telefon Huzaifah ambil kat surau,”
Husna termenung mendengar kata Huzaifah, tiba-tibanya matanya tertancap pada telefon nokia milik ummi malah milik abinya turut ada.
“Ummi lupa bawa telefon, tengok! Yang abi punya pun tertinggal,”
Mereka saling berpandangan.
“Nanti sekejap lagi baliklah tu,”ujar Husna perlahan. “Kamu dah solat?”
“Sudah kak, di surau sekolah tadi,”
Husna mengangguk, badannya dipusing menuju ke arah dapur. Tangannya lincah mengatur cawan dan mengisi kuih ke dalam piring. Minum petang yang sentiasa ada untuk mereka sekeluarga.
“Akak, Huzaifah pergi jenguk abi dengan ummi dululah. Mana mereka pergi,” Huzaifah menyuarakan hasrat.
“Iyalah,”
Belum pun sempat kaki Huzaifah mencecah tanah. Sebuah motorsikal memasuki halaman rumah mereka. Penunggang motor itu memanggil Huzaifah dengan kuat.
“Huzaifah,” seorang budak lelaki yang sebaya dengan Huzaifah menghampiri. Bunyi decit tayar motor yang diberhentikan dengan tiba-tiba turut mengejutkan Husna, tergesa-gesa gadis itu mencari tudung dan keluar ke muka pintu.
Terpinga-pinga Huzaifah melihat pemuda itu tercungap-cungap.
“Pak cik dengan mak cik, mereka ada kat surau tu,” Rahim nampak menarik nafas sebelum meneruskan kata.
Husna dan Huzaifah sabar menunggu kata dari Rahim, jangan ada perkara buruk yang hendak disampaikan.
“Kebetulan aku lalu nampak mereka berjalan, aku datang nak bagitahu kau, kasihan aku tengok ummi dengan abi kau berjalan kaki, mereka tu dah tua, biasa aku tengok abi kau dengan motor, hari ni tidak. baik kau pergi ambil.” Husna mengurut dada. Huzaifah melepaskan nafas yang ditahan dari tadi. Ingatkan apalah yang hendak disampaikan. Rahim cepat-cepat memusingkan motornya.
“Maaflah aku nak cepat sebenarnya ni, tadi mak aku suruh panggil bidan kakak aku nak bersalin, alang-alang aku dah lalu sini, aku berhenti dulu.”
itu barulah berita yang mengejutkan. “Ha?” terlopong Huzaifah dan Husna mendengarnya.
“Rahim, Rahim. Sempat kau datang sini dulu,” ujar Huzaifah sambil menggelengkan kepalanya. Husna turut tersenyum lucu.
“Akak, Huzaifah pergi ambil abi dengan ummi dulu,”
********************************************
Husna memandang inai di jari, semalaman jarinya di bungkus kemas dengan daun iani yang ditumbuk sendiri umminya. Hari-hari bahagianya hampir tiba. Persetujuan abinya disambut dengan derai air mata. Sebagaimana permintaan abi, Haikal datang bertemu dengan abi, entah apa yang ingin disampaikan abinya Husna tidak tahu, dan apa yang diucapkan Haikal sehinggakan abinya pulang dengan senyuman yang meleret selepas pertemuan mereka. Tapi dia senang sekarang. Umminya turut bahagia. Huzaifah menumpang gembira.
“Husna sayang,” Luqman mengusap kepala Husna lembut. “Jadilah isteri yang solehah, yang mendengar kata suami selagi ia tidak melanggar syariat. Jadilah ibu yang baik. Hormat dan sayanglah bakal ibu dan ayah mertua kamu, sebagaimana kamu sayang kami,”
Air mata Husna mengalir lagi, rupanya dalam keadaan begini hatinya makin sayu, makin takut jika dia berjauhan dengan orang tuanya. Kepalanya dilentokkan keriba abinya yang sedang bersila di sebelahnya. Tangannya pula mengeggam jari jemari umminya. Keduanya hanya membiarkan sahaja. Mungkin selepas ini susah untuk Husna bermanja lagi. Mungkin juga jauh untuk mereka mendengar dan melihat keletah Husna. Hanya waktu yang mengizinkan.
Suasana riuh rendah di luar perkarangan rumah. Khemah sudah siap dibina siang tadi. Abi dan umminya sibuk di dapur. Huzaifah pula di halaman rumah mengemas apa yang patut. Hati Husna tak keruan. Duduk salah berdiri pun salah. Dia berdebar untuk menunggu majlis akad nikah pagi esok. Ingin dia membantu tapi dilarang. Kata emak saudaranya merangkap adik kepada abinya, ‘Bakal pengantin duduk saja menjadi raja sehari’. Tapi itu yang Husna tidak mahu. Jika dia duduk sahaja maka hatinya makin berdebar. Dilayan keletah anak-anak sepupu yang datang untuk menghilangkan perasaan gundahnya.
Malam masih muda, suasana mula sedikit reda. Husna melilau ke sana ke mari, memerhati dari jauh apa yang sedang dilakukan oleh jiran tetangga yang datang menolong. Sedang dia duduk termenung di birai meja berhampiran dapur, sebiji buku jatuh menimpa kakinya.
“Diari abi,” Matanya melilau mencari kelibat abinya tapi pastinya abinya sedang berada di belakang rumah tempat memasak.
Dia bangun menuju ke biliknya. Sambil berbaring dia kembali menyelak halaman yang tertulis di dalamnya.
“6 hb 6 2011? Ini tarikh baru.” Getus hati Husna. Tangannya menyelak helaian kertas buku itu kebelakang lagi. “Ini tarikh abi jumpa dengan Haikal.” Hatinya makin membuak-buak ingin mengetahuinya.
Di buka halaman yang dia buka tercatat tarikh 18 hb 5 2011.
18 hb 5 2011
Mawardah, makin senja rupanya usia kita terasa baru kelmarin melihat mawar berlari bersama anak-anak. Baru kelmarin rasanya Huzaifah duduk di bahu abang. Mata ini masih terbayang bagaimana mawar memeluk dan mendukung kedua anak kembar kita. Dan tiba-tiba datang hari yang menyedarkan abang. Mereka sudah dewasa rupanya. Akan punya kehidupan sendiri bersama keluarga masing-masing. Hari ini, barulah abang mengerti perasaan ayah ketika ingin melepaskan Mawardah ke tangan abang. Berat rasanya mawar.
Husna anak perempuan kita. Banyak yang abang fikir. Apakah dia akan bahagia? Apakah hatinya akan disakiti? Adakah pilihan dan keputusan yang abang bagi sebagai ayah kepada permata kita benar?
Mawar, adakah abang terlalu banyak berfikir? Atau sebenarnya abang sayang untuk melepaskan anak kita. Ya mereka sudah besar dan bakal punya kehidupan sendiri. Dan kita sendiri sudah melaluinya. Tapi abang tetap bangga dengan mereka. Abang sayang kamu semua. Suri hidup dan buah hatiku.
Ya Allah ku pohon tunjukkanlah jalan untuk hamba-MU ini.
Husna menyeka air mata. Itukah rasa resah di hati abinya. Diselak halaman yang tercatat tarikh lain. Husna ingat, ini tarikh ketika Rahim datang ke rumah mereka hari itu. mungkin tulisan ini ditulis abinya pada malam itu. Husna mula membaca.
6 hb 6 2011
Sayang abang Mawardah, benar kata ayahmu sakitmu sudah pun mula hadir. Malah abang turut berjangkit penyakit itu. Alangkah dalamnya kata ayah mawar dulu. Kata-kata yang dia ucap adalah untuk melihat kesungguhan hati abang dalam menerimamu. Bukan untuk menakutkan abang. Sudah lama abang menyiapkan hati abang untuk menerima dirimu seadanya. Abang akan sentiasa berada disisi mu Mawardah. Dalam keadaan apa jua fizikalmu.
Sakit tua ini tak dapat kita elak. Rupanya inilah yang tersirat di balik ucapan ayah mawar. Dia ingin abang sentiasa berada di sisi mawar padahal abang sendiri bakal menghadapainya. Tapi hikmahnya adalah kita saling tolong menolong untuk menampung kekurangan ini.
Mawar, hari ini abang resah menanti mawar, mawar bukan terlewat pulang. Tapi abang yang risau tak menentu. Tapi benarkan. Rupanya mawar memang tak dapat pulang awal. Ketika abang sampai mawar mengadu lutut mawar sakit tak dapat berjalan. Penyakit yang ayah mawar sebut dulu sedikit demi sedikit hadir. Tapi ia bukan kerana penyakit yang terjadi tiba-tiba tapi kerana usia kita yang semakintua. Malah abang sendiri ada penyakit lupa, abang lupa membawa motor malah telefon juga abang tertinggal.
Pelupa betul abang. Petang itu sama-samalah kita bergurau senda bercerita tentang usia. Tentang lutut mawar yang tidak segah dulu dan tentang ingatan tua abang yang kian melemah. Tapi tak mengapa, jika mawar sakit abang boleh pimpinkan, jika abang lupa mawar tolong ingatkan ya?
Mawar, di antara kekurangan yang ada dalam usia yang makin menjengah dinihari. Bersyukur pada Allah dia memberi kita cahaya mata dan permata yang tak ternilai. Disaat kita yang sudah senja ini. Dua permata kita ada hadir untuk memenuhi kebutuhan kita. Petang itu Huzaifah datang membawa kita pulang dengan kenderaan padahal dulu, abang yang sentiasa memboncengnya di belakang motor buruk abang.
Sampai di rumah Husna pula menyambut kita di muka pintu, melihat wajahnya pasti dia resah menunggu kitakan? Terasa abang dapat melihat wajah mawar terbias di wajah Husna. Mawar abang yang sentiasa menyambut abang di muka pintu. Menanti dan menunggu anak-anaknya pulang dari sekolah. Jika kami terlewat pasti ada soal dari mawar, kenapa lewat? Apa yang terjadi? Tidak ada apa-apakan?
Adakah mawar tahu? Abang sengaja melewatkan masa lima minit atau sepuluh minit. Abang suka melihat rona wajah mawar. Mata yang redup. Dan mulutnya mungil yang bertanya itu dan ini.
Sekarang ia sudah berganti. Alangkah bahagianya kita mawar. Mempunyai anugerah Allah yang tak ternilai ini. Semoga mereka sentiasa menjadi anak yang soleh dan solehah. Dan manusia yang beriman dan bertaqwa.
Air mata Husna menitik lagi membaca tulisan abinya. Diselak lagi halaman seterusnya.
Tarikh pertemuan Haikal dan abinya. Husna tahu benar tarikh itu. kerana hari itu juga abi menyatakan persetujuannya pada Husna.
18 hb 6 2011
Kali pertama dalam hidup abang bertemu dengan pemuda yang telah merebut hati anak perempauan kita. Mawar tahu? abang pula yang berdebar-debar. Padahal abang yang hendak interview bakal menantu kita ni.
Melihat wajah bersih anak muda itu yang tenang mengadap abang. Teringat pula, abang juga pernah berada di tempatnya duhulu, ketika ingin menyunting mawar buat abang. Kalut yang disembunyi sendiri. Ketakutan yang cuba dihapuskan. Abang nampak keringat yang mengalir pada wajah Haikal haqimi ini. Agaknya begitukah rupa abang dulu?
Tidak banyak yang abang bualkan. Hanya tiga perkara yang abang aju. Abang lakukan apa yang dilakukan ayah mawar. Rasanya ketika itu, hati abang sudah tertarik. Pemuda ini bakal menjadi imam pada anakku. Pemuda ini yang bakal melindungi bunga yang kita belai selama ini. Mawar, mampukah dia membelai dan menyemai sebagaimana kita menjaga permata kita itu?
Tiga persoalan yang pernah ayah mawar ajukan pada abang, hari ini abang ulang di hadapannya. Dia terdiam lama sebagaimana abang dulu. Mungkin terkejut dengan berita yang baru dia dengar. Akan berganjakkah hatinya pada bunga kita itu? apakah abang telah bersalah menyebabkan dia berundur diri? Lama sekali dia menekur diri, adakah perasaan ayah mawar dulu juga seperti abang? Adakah abang telah terlanjur bicara? Semuanya bersatu.
Mawar, dulu abang menyatakan pada ayah mawar siap untuk menerima mawar. Tapi apakah mawar tahu yang membuatkan ayah mawar menerima abang seadanya? Sebagaimana abang menerima pemuda ini menyunting bunga kita?
Haikal Haqimi telah menjawab dengan yakin. ‘Pak cik, terus terang saya terkejut, jika benar Husna yang ingin saya sunting mempunyai kekurangan dan penyakit. Tapi insyaallah saya redha menerimanya’. Riak Haikal seperti abang dulu. Tapi hati abang terpaut padanya kerana dia mengucapkan kata-kata yang pernah abang ucapkan pada ayah mawar.
‘Pak cik saya menerimanya dengan ikhlas hati dan dari awal lagi adalah kerana agamanya. Saya tidak pernah mengenalinya, tapi saya terpaut hati ketika mendengar dia mengajar anak-anak kampung belajar al-Quran di surau, selepas itu pula saya mendapat tahu ia adalah anak perempuan pak cik, saya pernah bertemu sekali dengannya. Ketika dia hadir dalam majlis ta’lim yang diadakan di surau ini. Insyaallah pak cik, permata hati pakcik ini akan saya jaga dan membimbingnya dengan ikhlas hati saya. Akan saya teraju dan menjadi pemimpin yang baik dalam rumah tangga kami.’
Tidak disangka apa yang berlaku pada abang turut berlaku padanya. Mungkin dia pernah bertembung ketika Husna menggantikan mawar mengajar. Mawar, abang harap keputusan abang ini betul. Demi masa depan permata kita ini.
Husna memeluk diari hitam ini dengan kemas. Husna sayang abi. Di layan perasaan yang hadir. Kesedihan mula menjalar. Dia sedar selepas hari esok hidupnya akan berubah. Air matanya masih setia mengalir.
Sosok tubuh tua abi kelihatan di ruang tamu “Abi, Husna tak nak kawin,” tubuh tua itu didakap.
“Ha? Husna kamu jangan main-main nak. Besok kamu nak kawin,” Luqman menyentuh bahu anak gadisnya.
“Tak nak, Husna tak nak,”
“Ah, sudah!” Luqman mati akal. Bicara Husna tadi sudah didengari jiran yang masih ada.
“Abi, Husna nak tinggal dengan abi,”
“Husna, Husna sayang,” kedengaran suara umminya memanggil lembut. Bahunya digoncang perlahan.
Husna membuka kelopak mata memandang wajah ummi, “Ummi, Husna tak nak kawin,”
“Hah? Apa yang Husna mengarut ni sayang? Husna mengigau ya?” Soal Mawardah. Terkejut dia mendengar kata anak perempauannya sebentar tadi. “Sudahlah mimpinya sayang. Dah subuh, lagi beberapa jam majlis akad nikah kamu nak mula.”
Mengigau? Subuh? Husna terpinga-pinga, bila dia tidur? Jam yang ada di pergelangan tangannya dipandang.
“Ha! Pukul 6?” dipandang wajah ummi yang masih setia di sisinya.
“Ummi, Husna tak nak kawin. Husna, nak duduk lagi dengan ummi dengan abi,” dia merengek-rengek. Lain benar sifatnya sekarang makin kuat merauk dan menjadi-jadi manjanya.
Mawardah mengusap kepala Husna, kebiasaan Luqman ketika berbicara dengan anak-anaknya itu turut berjangkit kepada Mawardah.
“Kenapa ni sayang, bakal suami kamu lagi 3 jam akan sampai,”
“Husna tak mahu tinggalkan ummi dengan abi,” ujar Husna perlahan. Mawardah tersenyum.
“Husna tahu tak, dulu masa hari perkahwianan ummi dengan abi, ummi juga menangis macam Husna sekarang.” Husna memandang wajah umminya. Rupanya ummi turut ada rahsia di hatinya. Mawardah tersenyum sendiri mengingatkan hari itu kalut ayahnya memujuk.
“Sudahlah, kenapa kamu takut, kamu tetap anak ummi dan abi, hanya selepas ini kamu perlu lebih berusaha dan menyesuaikan diri dengan perkara baru, jangan cepat melatah sayang.”
“Ummi yakin bakal suami anak ummi akan menyayangi anak ummi, seperti abi dan ummi menyayangi kamu,”
“Husna tahu? Ummi sayang abi, sayang sepenuh hati, dia menerima dengan ikhlas sekalipun jika ummi ada cacat celanya,” tangan Mawardah mencapai diari hitam yang terdampar di birai katil. “Haikal juga telah menerima Husna, jadi sekarang Husnalah yang akan membuatkan dia bangga memilih Husna sebagai suri hidupnya” sambung ummi sambil meletakkan diari itu di tangan Husna.
Husna menyeka air matanya. Dia menarik nafas perlahan. Tangannya kembali memeluk ummi dengan erat.
“Maafkan Husna,”
“Sudahlah, pergi solat subuh, nanti lambat pula bersiap,”
Husna mengangguk, tanpa mereka sedari ada yang sedang menonton mereka.
“Hurmm, sudahlah tu dah nak jadi isteri orang dah,” Luqman menyakat anak gadisnya.
Husna menarik muka mendengar usikan abinya.
“Sebijik macam muka umminya, bangun je pagi-pagi cakap tak nak kawin,” Terkekeh Luqman ketawa.
“Amboi mengata orang,” Balas Mawardah siap dengan jelingan mata.
“Ish mawar abang ni, abang nak usik anak kita tu,”
Huzaifah turut mengintai-ngintai di belakang abinya.
“Jangan tak jadi Husna, kasihan bakal suami kamu, pengantinnya merajuk pagi pernikahan, tak nak kawin, abi tak mengapa, abi dah kawin dengan ummi kamu,” Luqman masih galak menyakat.
“Abi ni,” air mata Husna berjurai lagi. Hatinya mudah benar tersentuh.
“Abang, sudahlah tu,” Mawardah menarik tangan suaminya keluar dari bilik Husna. Dibiarkan gadis itu memujuk perasaan sendiri.
******************************
“Kak Husna, pengantin lelaki nak masuk sarung cincin tu.” Sofea, sepupunya memberitahu. Husna menati dengan debar.
Tiba-tiba terdengar suara abinya hampir di pintu bilik yang masih tertutup.
“kamu tak tahu ke? Pengantin lari waktu baca doa tadi?”
“ha? Hah?” gamat suara di luar.
Husna turut terping-pinga. Pengantin lari? Siapa yang lari? Aku elok je ada kat sini? Haikal lari ke? Perasaannya bercampur baur sebak di dada ditahan sekuat mungkin.
Pintu bilik ditolak agak kasar, hampir tersungkur sofea yang turut mahu membuka pintu.
Wajah pertama yang muncul adalah wajah Haikal. Air mata Husna gugur. Entah apa perasaannya sebenar ketika itu.
“Astaghfirullahal’azim, kamu Luqman, main-mainkan anak aku,” tergeleng kepala Hisyam, ayah kepada Haikal.
“Haikal, maafkan abi kamu ni, dia nak balas dendam kot, dulu masa ummi kawin, arwah ayah ummi pun usik dia macam ni, jangan ambil hati ya,” Mawardah mengusap bahu pemuda yang sudah menjadi menantunya itu. Luqman hanya tersengih dapat mengenakan menantunya, tangannya mengusap-ngusap lengannya yang terasa bisa dan berbekas kerana hadiah cubitan daripada Mawardah tadi. Tapi dalam hatinya memanjat syukur. Semuanya berakhir dengan selamat.
Haikal hanya tersenyum sumbing, cincin yang dihulur disambut dan disarungkan ke jari Husna, sekarang bukan hanya Husna, malah dia sendiri turut menagis. Basah tangannya ketika dicium Husna, begitu juga wajah Husna yang dititik air mata Haikal.
Huzaifah memandang wajah abinya.
“Abi, nanti Huzaifah kawin janganlah abi usik macam ni. kasihan, nanti Huzaifah tak jadi kawin,”
“Ish, anak lelaki abi kalau nak kawin, lain pula ceritanya, tak begitu umminya?” Luqman mengenyitkan matanya kepada Mawardah.
Mawardah hanya tersenyum, tahu yang suaminya hanya mengusik Huzaifah. Anak terunanya dah mula pucat wajahnya.
Luqman hanya ketawa kecil ditepuk bahu Huzaifah berkali-kali. Pandangannya dialihkan kepada Husna, melihat senyum Husna sekarang terasa dia sudah membuat keputusan yang benar.
‘Selamat pengantin baru anakku, setialah engkau untuk mengunjungi kami selalu sayangku, hari-hari tanpa kamu puteriku, pasti lain suasananya,’ hati Luqman berbicara sendiri.
Husna memandang wajah abinya. Dia melihat mata abinya bergenang dengan mutiara jernih yang akhirnya luruh. Umminya cepat-cepat menghulurkan hujung kain tudungnya, mengesat air mata suaminya.
Kedua suami isteri itu memandang wajah anak perempuan yang sudahpun beralih tanggungjawab kepada suaminya untuk menjadi penongkat dan penaung hidup, semoga bahtera itu sentiasa menuju ke dalam redha Allah. Itu harapan mereka.
“Husna sayang abi dan ummi, Husna berdoa, agar perkahwinan Husna juga sebahagia hati ummi dan abi yang dapat memiliki antara satu sama lain,’ Husna berbicara sendiri.

terime kasih sudi baca.. dan sudi-sudi la komen..

0 budak comel dah komen:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...